English
Monetize your website traffic with yX Media
PENYANYI, Ezlynn, bakal muncul dengan lagu ciptaan Tam Spider. - Foto: Mahzir Mat Isa
KUALA LUMPUR: Sering dilihat bersama seorang pemuda Tionghua sejak akhir-akhir ini, penyanyi, Ezlynn, menafikan tanggapan kononnya jejaka terbabit adalah kekasihnya.
Sebaliknya, kata penyanyi Hi Hi Bye Bye itu, jejaka yang bertugas di sebuah syarikat media terkenal itu bertindak sebagai pembantu peribadinya mengikut projek tertentu.
Selepas berpisah dengan bekas suami, Adam Fahmy Shamsuddin, 38, pada Oktober lalu, Ezlynn masih selesa hidup sendirian.
"Memang ada yang keliru apabila menyangka dia kekasih saya. Sebaliknya, dia pembantu peribadi saya, mengikut projek yang ditawarkan saja. Dia sendiri mempunyai pekerjaan tetap dan hanya boleh membantu saya pada waktu cutinya.
"Kebiasaannya, kalau ada kerja memerlukan saya mengembara agak jauh, dialah yang akan tolong memandu kereta. Lagipun, kakak dan abang saya tidak memandu. Jadi, kalau bawa mereka pun, memang saya juga yang kena memandu," katanya.
Tambah Ezlynn atau nama penuhnya Azline Ariffin, dia turut membantu jejaka berkenaan dalam perniagaan menjual monitor telinga.
Dalam perkembangan lain, Ezlynn yang kali akhir muncul dengan single Tic Tac Toe kira-kira tujuh tahun lalu, kini menunggu masa terbaik untuk merakamkan lagu baharu ciptaan Tam Spider.
"Lagu kali ini lebih santai. Ia bukan berkonsep pop rock seperti Hi Hi Bye Bye atau Sengsara. Saya boleh katakan lagu ini sedikit sebanyak macam Bersamamu.
"Saya banyak dibantu oleh orang penting Indigital Music, Poji Samad, untuk projek lagu single ini," katanya.
Sebagai persediaan untuk muncul dengan buah tangan terkini, Ezlynn turut diminta menjaga badan.
"Saya memang aktif berbasikal, berlari dan bermain badminton. Memang kena pasang badanlah untuk lagu single ini. Sebelum ini badan agak berisi, jadi saya memang perlu aktif bersukan dan bersenam sebelum lagu baharu dikeluarkan," katanya.
أحدث أقدم