English
Monetize your website traffic with yX Media


KUALA LUMPUR: Tahun 2017 sekali lagi mencatatkan pelbagai kisah pahit dan manis bagi sebahagian anak seni negara ini, sekali gus mewarnakan dunia hiburan tempatan.
Tidak terlepas menjadi tumpuan ramai, tentu saja beberapa cerita panas membabitkan insan popular sama ada dalam bidang lakonan mahupun nyanyian.
Bersama status selebriti yang disandang, apa saja yang berlaku pada mereka pastinya menjadi perhatian, apatah lagi jika ia kisah yang penuh kehangatan.
Menyorot kembali isu panas membabitkan golongan terkenal ini, sisipan B*POP dalam akhbar BH esok menyediakan edisi khas dengan menyenaraikan artis yang dikira paling hangat dan sensasi sepanjang 2017.
PELAKON, Rita Rudaini. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
Siapa sangka, keakraban yang ditonjolkan ketika membintangi drama Misi Laksa Laksam terbitan Zeel Production membawa 'malapetaka' buat aktres, Rita Rudaini Mokhtar, apabila dituduh menggoda suami orang, iaitu Aqasha.
Awal tahun ini, dunia hiburan tempatan sememangnya bergegar dengan isu hubungan Rita dan Aqasha apabila isteri aktor itu mendakwa, rumah tangganya bergolak disebabkan kehadiran insan ketiga.
Bagaimanapun, Rita hanya membiarkan dirinya diasak kutukan, hinaan dan cemuhan. Beliau enggan memberikan kenyataan kerana bimbang hanya memanaskan lagi api yang sedang membara.
Jika disenaraikan artis kontroversi sepanjang tahun, nama bakat baharu, Afifah Nasir, tentunya tidak ketinggalan berikutan isu berpegangan tangan dengan penyanyi dan pelakon dari Singapura, Aliff Aziz, ketika memasuki sebuah kelab karaoke di Cheras.
Nama adik kepada pelakon Anzalna Nasir itu menjadi panas apabila dihukum netizen yang mendakwa dirinya punca pergolakan rumah tangga Aliff dan isterinya, Bella Astillah. Lebih teruk, apabila berlaku 'pergelutan' antara Aliff dan Bella yang ketika itu masih dalam pantang selepas melahirkan anak pertama mereka.
PENYANYI Hafiz Hamidun. - Foto Rosela Ismail
Kontroversi perkahwinan singkat penyanyi, Hafiz Hamidun, dan bekas isterinya yang juga usahawan kosmetik, Joy Revfa, juga tentunya diingati ramai.
Konflik rumah tangga pasangan ini timbul apabila Hafiz meragui status perceraian Joy dengan bekas suaminya. Disebabkan kecurigaan itu, Hafiz dikatakan tidak dapat melaksanakan tugas sebagai suami dan sempat tinggal sebumbung bersama wanita itu selama beberapa hari saja.
Hafiz akhirnya melafazkan cerai selepas mendakwa bekas isterinya sentiasa mengaibkan beliau di laman sosial, enggan menerima nasihat, ingkar suruhan suami termasuk menjatuhkan imej dan reputasinya.
Terbaru, isu yang masih hangat diperkatakan membabitkan kisah hidup 'bermadu' aktres, Izreen Azminda. Dituduh sebagai perampas, Izreen terpaksa berdepan ujian berat apabila memilih pemuzik yang masih menjadi suami orang sebagai teman hidupnya.
Selain mereka, ramai lagi insan popular yang terpalit kontroversi dan cerita panas sepanjang 2017 dimuatkan dalam edisi khas B*POP. Ikuti sorotan, ulasan dan luahan masing-masing mengenai isu yang memanaskan nama mereka di persada hiburan dalam akhbar BH, esok.
PELAKON, Izreen Azminda. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
3371 dibaca
أحدث أقدم