English
Monetize your website traffic with yX Media


KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Bella Nazari mengaku dirinya hampir hilang punca selepas putus tunang dengan seorang anggota polis pada Mac tahun lalu.

Apatah lagi, ia bukanlah kegagalan pertama dirinya dalam perhubungan.

Namun, wanita berusia 31 tahun tidak serik untuk membuka hatinya, seterusnya menerima kehadiran lelaki yang diharap mampu membimbing dan mengetuai sebuah kehidupan berkeluarga.
Kehadiran Andi Bernadee diharap dapat menjadikan segala yang diimpikan itu menjadi kenyataan.
"Saya tak kata serik bercinta. Saya tahu hakikat dan fitrah kehidupan. Hidup ini saling melengkapi dan sebagai wanita, kita memerlukan bimbingan lelaki.
"Ketika putus tunang, keadaan diri memang teruk, sampai tak makan dan minum. Rumah pun jadi tunggang langgang.
"Dulu, rumah berseri dengan kehadiran anak bekas tunang. Saya tinggal berdekatan dengan kediamannya. Kalau dia bekerja pada sebelah malam, sayalah meluangkan masa menjaga anaknya. Tetapi, apabila anaknya sudah tiada di rumah, saya jadi sedih. Sesekali, fikiran saya menerawang dengan memori bersama mereka.
"Beberapa bulan selepas putus tunang, saya mengenali Andi. Kebetulan, dia tinggal berdekatan dengan rumah saya dan kami kerap membuat persembahan sama," katanya dalam pertemuan dengan BH baru-baru ini.
BELLA dan Andi. - Foto Instagram @bella.nazari
Bella akui, Andi juga memiliki sikap hampir sama dengan bekas tunang, yang dianggapnya sangat penyayang dan gemar memanjakan dirinya.
"Andi tahu bagaimana keadaan saya selepas putus tunang. Dialah yang akan tanya sama ada saya sudah makan atau belum? Hubungan kami jadi lebih berwarna kerana masing-masing faham dengan masalah diri.
"Dia umpamanya bergelut untuk membuktikan bakat sebelum ini. Ketika itu, dia belum lagi tular dengan video parodi Tak Tun Tuang. Saya pula dengan masalah peribadi. Jadi, kami boleh jadi kawan akrab. Rasanya kalau tidak kerana dirinya, mungkin saya akan 'meroyan' lagi," katanya yang masih berkawan baik dengan bekas tunang.
Tambah Bella, apabila mula rapat dengan Andi, dia seakan-akan dapat melupakan masalah peribadi.
"Bayangkan, kalau duduk seorang diri di rumah tanpa adik yang pulang ke kampus, saya ibarat cakap seorang diri. Macam cakap dengan dinding pun ada.
"Jika diikutkan, ada juga yang cuba mendekati selepas saya putus tunang. Namun, semuanya tak menjadi. Contohnya, ada lelaki yang mendakwa dirinya pelakon, ajak saya kahwin. Walaupun belum berjumpa, tetapi sudah menawarkan diri nak beli barang mewah, termasuk mengajak saya bercuti ke Australia.
"Kononnya dia sanggup tanggung perbelanjaan bercuti. Selepas diperiksa, memang dia kaki penipu," katanya.
Menyentuh kerjaya seninya, Bella sedar dia masih lagi berusaha membuktikan bakat yang dimiliki.
Pada peringkat awal pembabitannya dalam seni, Bella masih berusia belasan tahun. Belum sempat meninggalkan impak ketika itu, dia yang pernah bergelar protege kepada Noraniza Idris dalam program Mentor pada 2005, memutuskan untuk menyambung pengajian dan bekerja di sebuah syarikat swasta.
"Saya sambung belajar dan bekerja. Kemudian, saya putuskan untuk kembali ke persada seni. Sewaktu muncul dengan single pertama, Infiniti, saya buat semuanya sendiri. Saya muncul pada era kebangkitan semula artis lama.
"Ia diikuti dengan single Oh Cintaku. Ketika itu, muncul penyanyi yang mula mencuri perhatian seperti Khai Bahar dan Aiman Tino. Tapi saya bertuah kerana single kedua dipilih menjadi runut bunyi tiga drama iaitu Papa Ricky, Hikayat Cinta Si Pematah Hati dan Duda Pujaan Dara. Impaknya agak besar ketika drama Duda Pujaan Drama," katanya.
Enggan statik dalam bidang nyanyian semata-mata, Bella atau nama sebenarnya Mas Nabiella Nazari turut menceburi dunia lakonan. Dia mula berlakon menerusi drama pertama, Hati Perempuan.
Tahun lalu, dia muncul dengan sebuah drama saja iaitu Shhh I Love You.
"Tahun ini, saya bercadang nak fokus dalam lakonan kalau ada rezeki. Pada masa sama, saya akan teruskan nyanyian," katanya yang menjadi artis pertama berada di bawah naungan Raksasa Records, selain Nazim Othman dan Cassidy.
Lebih baru Lebih lama