English
Monetize your website traffic with yX Media
Sepasang suami isteri terkejut apabila diacukan parang oleh dua penjenayah yang melanggar kenderaan mereka di sebuah stesen minyak di sini
Oleh Azlan Hafeedz
PASIR PUTEH: Sepasang suami isteri terkejut apabila diacukan parang oleh dua penjenayah yang melanggar kenderaan mereka di sebuah stesen minyak di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 6.50 pagi di Kampung Bukit Bidang, Jalan Selising-Kok Lanas, di sini, Roslan Abdullah, 40, dan isterinya, Wan Nur Saidatul Akmal Jaffar, 38, turut kehilangan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang dilarikan penjenayah terbabit.
Roslan berkata, kenderaannya dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta Honda Jazz selepas selesai mengisi petrol di stesen minyak.
Sebaik dirempuh, dua lelaki bertopeng keluar dari kereta terbabit dan mengacukan sebilah parang ke arah Roslan dan isterinya.
"Saya cuma beristighfar ketika dua penjenayah itu menghunuskan parang dan meminta saya menyerahkan kenderaan.
"Bimbangkan nyawa, saya serahkan Toyota Hilux kepada mereka sebelum mereka melarikan diri ke arah Pasir Puteh.
"Saya dan isteri dalam perjalanan ke Rantau Panjang sebelum singgah mengisi minyak. Ketika itu tiada pelanggan lain, mungkin itu menyebabkan mereka berani menyamun kami dalam tempoh lima minit.
"Kami segera membuat laporan di Balai Polis Selising dan tidak lama kemudian, saya dimaklumkan kenderaan saya ditemui remuk kerana merempuh kedai runcit di Kampung Bukit Bidang," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Roslan kemudian ke lokasi kejadian dan mendapati wang tunai RM3,500 serta tiga telefon bimbit hilang dalam simpanan manakala penjenayah sempat meloloskan diri dengan kenderaan lain.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abd Rozak Muhammad, berkata polis menemui sepucuk pistol tiruan dan sebilah parang dalam pacuan empat roda itu yang dipercayai digunakan untuk menakutkan mangsa.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan manakala saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan," katanya.

Lebih baru Lebih lama