English
Monetize your website traffic with yX Media
Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah 
thaddius@bh.com.my


TUARAN: Buahnya kelihatan besar, seolah-olah mengandungi banyak isi tetapi jika dikopek, isinya ada yang hanya seulas.
Itu antara keunikan sukang, iaitu antara spesies durian eksotik yang boleh ditemui di Sabah setiap kali tiba musim buah.
Sukang berbeza berbanding durian yang lain berikutan bentuk fizikalnya berduri tajam dan panjang menyebabkan buahnya kelihatan besar, namun ruang isi sebenarnya kecil.
Buahnya berwarna hijau terang ketika mentah dan bertukar hijau kekuningan apabila masak sebelum gugur, namun ada juga sesetengah pokok yang buahnya masak masih berwarna hijau terang apabila gugur.
Apabila dikopek, kebiasaannya ada dua atau tiga ulas isi berwarna kuning di dalamnya, namun ada juga yang hanya seulas.
Durinya yang panjang mencacak seperti bulu landak sering menarik perhatian orang ramai, khususnya pengunjung dari luar.
Pengunjung dari Johor Bahru, Hisham Yaakub, 55, yang ditemui di pekan Tamparuli, di sini, berkata bentuk sukang sangat berbeza berbanding durian lain dan ia mendorong keinginan untuk mencuba isinya.
"Buahnya bulat dan besar tetapi tak sangka pula apabila dibuka isinya hanya ada satu ulas, namun sedap," katanya.
ANTARA sukang yang dijual tepi jalan Kampung Tenghilan Bukit, Tuaran. - Foto Lano Lan
SAILIN menunjukkan sukang yang dijual di gerainya di tepi jalan Kampung Tenghilan Bukit, Tuaran. - Foto Lano Lan
Isi sukang agak tebal dan warnanya yang kuning menyebabkan ada penggemar durian menggelarnya 'musang king' eksotik Sabah.
Penjual durian, Sailin Binati, 58, berkata, sukang sangat digemari peminat durian tempatan selain pengunjung luar dan pelancong.
Katanya, harga durian berkenaan biasanya lebih murah berikutan ciri-cirinya yang kurang berisi, iaitu antara RM5 hingga RM6 sekilogram tetapi boleh melambung hingga lebih RM10 sekilogram ketika musim buah kurang.
"Musim buah sekarang agak kurang, jadi harga semua jenis buah agak mahal termasuk sukang. Namun begitu ia tetap mendapat sambutan orang ramai," katanya.
Beliau memasarkan durian yang diperoleh dari kebun penduduk kampung di gerai tepi jalan Kampung Tenghilan Bukit, di sini, yang menjadi tumpuan persinggahan pengunjung dari Kota Kinabalu, Kota Belud dan utara Sabah.
Sukang atau nama saintifiknya Durio oxleyanus adalah antara spesies durian eksotik di Sabah selain dalit, iaitu spesies durian isi merah, oren atau kuning.
GURING Goduon menunjukkan buah tarap bersaiz besar yang dijual RM8 sebiji. - Foto Lano Lan
ISI bambangan berwarna kuning pekat dengan rasanya masam-masam manis biasanya dibuat jeruk oleh penduduk tempatan di Sabah. - Foto Lano Lan
Sailin yang turut menjual dalit isi merah dan kuning berkata ketika ini harga dalit lebih mahal hingga mencecah RM35 sekilogram berikutan buahnya agak kurang berbanding sebelum ini.
Selain spesies durian, buah eksotik lain seperti tarap (Artocarpus odoratissimus) dan bambangan (Mangifera pajang) adalah antara buah bermusim yang sangat popular di Sabah.
Tarap biasanya dijual lebih murah dengan harga serendah RM2 hingga RM5 sebiji sebelum ini, namun kali ini dijual dengan harga hingga lebih RM10 sebiji mengikut saiz.
Bambangan yang isinya menyerupai mangga juga lebih mahal hingga ada yang dijual lebih RM10 sebiji bagi bersaiz besar.
Penjual buah dari Kampung Tomboilik, Tenghilan, di sini, Guring Goduon, 67, berkata harga buah pada tahun ini lebih mahal disebabkan kurang bekalan.
"Buah bermusim pada kali ini kurang menjadi sebab itu harganya lebih mahal," katanya.
Ketika ini, iaitu bermula akhir Disember lalu adalah musim buah di Sabah khususnya di daerah pantai barat dan pedalaman seperti Tuaran, Kota Belud, Ranau, Penampang, Papar, Beaufort, Sipitang, Keningau dan Tenom.
Musimnya dijangka berterusan hingga Mac depan, dengan kebanyakan buah eksotik bersama buah bermusim lain dipasarkan terus pemilik dusun di gerai tepi jalan dan pasar tamu mingguan di daerah terbabit.
LONGGOKAN buah eksotik seperti bambangan dan pelbagai jenis durian di gerai tepi jalan Kampung Tenghilan Bukit, Tuaran. - Foto Lano Lan
PENGUNJUNG dari Matunggong, Kudat memilih sukang dan dalit untuk dibawa pulang di gerai tepi jalan Kampung Tenghilan Bukit, Tuaran. - Foto Lano Lan
Lebih baru Lebih lama